KAUM TEMUAN
Orang Temuan kelompok orang Melayu-Proto. Mereka juga dikenali sebagai orang Melayu Asli dan Jakun. Kebanyakan kelompok ini boleh ditemui di Selangor dan Negeri Sembilan. Perkataan 'temuan' diperkenalkan oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) selepas baru penduduk pada tahun 1960. Orang Temuan dipercayai berasal dari Sumatera. Ini berdasarkan persamaan bahasa yang wujud antara orang Melayu Sumatera yang tinggal di Semenanjung Malaysia dengan orang Temuan. Bahasa pertuturan orang Temuan berasal daripada rumpun bahasa Austronesia (Melayu-Polinesia). Orang Temuan Paya Lebar pada masa ini menggunakan bahasa Melayu. Akan tetapi sesetengah perkataan yang digunakan tidak wujud dalam nahu bahasa Melayu seperti ‘nyap’ untuk tidak, ‘ong’ atau ‘pe’ untuk awak dan ‘sap’ untuk habis.
Orang Temuan mempunyai ciri-ciri fizikal yang tersendiri. Tinggi purata lelaki Temuan ialah l52.7cm. Manakala tinggi purata perempuan Temuan ialah 143.9 cm.Warna kulit mereka seperti warna kulit orang Melayu. Rambut mereka lurus dan berwarna hitam kebiruan. Mereka berhidung pesek dan mempunyai tulang pipi yang tinggi. Mata mereka berwarna perang tua dan bersaiz sederhana, manakala mulut mereka besar dan luas. Terdapat perbezaan yang ketara antara lelaki dan perempuan Temuan iaitu dari segi berat, ketinggian dan ukuran bahu. Orang lelaki Temuan lebih berat, lebih tinggi dan mempunyai ukuran bahu yang lebih lebar daripada kaum perempuannya. Namun, apabila dibandingkan antara dua generasi Temuan, tiada perbezaan yang ketara.
Struktur Sosial
Struktur Sosial masyarakat ini dapat dilihat pada peringkat isi rumah dan peringkat masyarakat. lsi rumah orang Temuan terdiri daripada sepasang suami isteri (pasangan berkahwin), anak-anak yang belum berkahwin dan mungkin ibu bapa mereka. Pasangan yang berkahwin itu akan bekerja untuk menyara isi rumahnya. Semua isi rumah mempunyai tanah untuk bercucuk tanam dan biasanya dijadikan dusun buah-buahan, sawah dan kebun getah. Semua tanah orang Temuan akan diwarisi oleh anak-anak perempuan, manakala anak laki-laki akan menumpang kakak atau adik perempuan. Tiada pembahagian tugas mengikut jantina antara pasangan yang berkahwin dengan ahli sesebuah isi rumah. Bagaimanapun berburu dilakukan oleh orang lelaki. Jika berlaku perceraian, anak-anak akan mengikut ibunya manakala suami akan kembali ke kampung asalnya ataupun mendirikan rumah yang baharu.
Pada peringkat masyarakat Temuan pula, didapati beberapa isi rumah orang Temuan membentuk satu kampung. Hubungan kekeluargaan dan persemendaan yang rapat mengikat kesemua isi rumah itu menjadi sebuah kampung yang berintegrasi. Dalam setiap kampung ada seorang ketua yang digelar batin. Biasanya adik-beradik tinggal berhampiran dan ini membolehkan wujudnya kerjasama antara mereka dalam bidang sosial dan ekonomi. Sebuah perkampungan Temuan cenderung untuk menjalin hubungan dengan perkampungan Temuan yang lain. Perhubungan ini melibatkan berbagai-bagai pertukaran tanggungjawab sosial, pengeluaran ekonomi dan maklumat. Penduduk kampung Temuan biasanya mempunyai interaksi yang sedemikian dengan beberapa kampung temuan yang lain meskipun agak berjauhan. Ini dikenal sebagai interaksi antara kampung.
Aktiviti Sosial
Aktiviti sosial dilakukan dalam kampung sendiri dan dengan kampung yang lain. Melalui amalan ‘nimbul’, mereka saling ziarah-menziarahi untuk berbual dan bercerita. Ini dilakukan dalam kampung dan antara kampung Temuan yang lain. Fungsi nimbul adalah untuk menjamin pertukaran maklumat dan membantu mengintegrasikan pelbagai kumpulan. Kenduri juga membentuk integrasi. Biasanya kenduri diadakan pada musim buah dan dihadiri oleh semua penduduk kampung tersebut dan kadangkala oleh penduduk kampung lain juga. Semua penduduk kampung akan bersama-sama menjayakan kenduri. Penghulu balai biasanya menjadi ketua dalam kenduri seperti itu.
Walaupun memburu merupakan aktiviti perseorangan atau dilakukan dalam kumpulan yang kecil, tetapi aktiviti ini dianggap sebagai satu aktiviti sosial yang penting. Daging hasil buruan itu dibahagikan kepada semua isi rumah yang ada di kampung tersebut. Kadangkala jika hasil buruan itu berlebihan, daging hasil pemburuan akan dihantar ke karnpung Temuan yang lain juga. Dalam upacara ‘sawai’ semua penduduk kampung terlibat. Di kebanyakan kampung, batin mereka juga merupakan bornoh yang handai. Pertukaran maklumat berlaku antara kampung dengan kampung, baik dengan kampung Temuan yang lain, mahupun dengan kampung komuniti yang lain. Di dalam kampung, batin merupakan sumber maklumat yang terpenting yang memberikan maklurnat tentang aktiviti ekonomi dari sebagainya. Pertukaran maklumat juga berlaku dengan orang luar seperti pegawai JHEOA, orang dari kampung Temuan yang lain dan dengan masyarakat daripada komuniti yang lain seperti kampung Melayu yang berhampiran dan sebagainya. Ini membolehkan orang Temuan mengetahui apa yang berlaku di luar kampung mereka.
Kepimpinan
Kepemimpinan masyarakat orang Temuan, ada tujuh peringkat kepemimpinan iaitu batin, pemangku, jenang, jukera, menteri, penghulu balai dan panglima. Batin sebagai ketua kampung bertanggungjawab terhadap pentadbitan kampung secara keseluruhannya. Dia diberi kuasa oleh JHEOA. Di beberapa kampung, batin juga menjadi penasihat, hakim dan bomoh. Oleh sebab batin sibuk menjalankan tugas rasmi dan tiada masa untuk bercucuk tanam. Penduduk kampung akan menghadiahkan sebahagian kecil daripada hasil tanaman mereka. Apabila batin meninggal dunia, jawatan itu biasanya diwarisi oleh anak lelakinya yang sulung atau oleh saudaranya yang terdekat, jika anak lelakinya tidak dapat melaksanakan tugas tersebut. Batin dibantu oleh pemangku. Apabila batin tiada, pemangku akan mengambil alih tugas batin untuk sementara waktu. Jenang dan pembantunya, jukera bertindak sebagai pentadbir jika batin dan pemangku tiada. Tugas utama penghulu balai adalah untuk menyelia kenduri dan upacara keagamaan. Pada masa dulu, panglima bertindak sebagai ketua tentera tetapi kini didapati jawatan ini sudah tidak perlu lagi. Menteri pula menjadi penyelaras interaksi kampung.
Kepercayaan
Kepercayaan orang Temuan, pada asasnya, menganut animisme dan menyembah nenek-moyang mereka. Mereka percaya pada kewujudan tuhan yang mereka kenal sebagai cemok dan lenggoi. Tuhan-tuhan ini dipercayai sebagai nenek-moyang mereka dan dipercayai wujud dalam pelbagai bentuk seperti angin, hujan dan kilat. Orang Temuan juga percaya bahawa batu besar, sungai, pokok tinggi dan gunung adalah tempat tinggal hantu dan jin. Ada tiga hantu yang dianggap penting iaitu hantu malaikat, hantu beburung dan hantu lidah tanah. Hantu-hantu ini dipercayai adalah hantu jahat dan penyebab kepada pelbagai jenis penyakit. Untuk melawan hantu jahat ini, orang Temuan bergantung pada bomoh yang dikenal sebagai ‘orang bertangkai’ (pawang). Pawang menggunakan beberapa herba hutan dan kayu-kayan seperti kayu gaharu dalam pengubatannya. Kayu gaharu itu akan dibakar untuk meminta bantuan daripada tuhan untuk menghalau hantu itu. Kadangkala sawai dilakukan untuk memulihkan pesakit dengan meminta pertolongan daripada nenek-moyang mereka serta pelbagai jin dan roh.
Orang Temuan mempunyai sistem kalendar mereka sendiri yang berdasarkan umur bulan. Menurut sistem kalendar mereka, terdapat 360 hari dalam setahun dengan 30 hari setiap bulan. Hari pertama dalam setiap bulan ditunjukkan oleh jeritan monyet liar. Pada hari tersebut, mereka dibenarkan bekerja tetapi jika jeritan monyet tidak kedengaran, petunjuk yang digunakan ialah bulan. Jika bulan kelihatan, mereka dibenarkan bekerja. Jika tidak, hari itu digelar hari berpantang dan mereka tidak dibenarkan bekerja. Dari hari kedua hingga hari ke-17 pada setiap bulan, orang Temuan dibiarkan bekerja. Hari yang ke-18 dan hari ke-19 dikenali sebagai ‘parit’ (muncung babi) dan ‘parap’ (muncung tikus). Manakala hari yang ke-26 hingga hari ke-29 pada setiap bulan digelar sebagai ‘leg’. Hari yang ke-30 dikenal sebagai ‘bulan mandi’ atau ‘ikan melihat bulan’. Ketujuh-tujuh hari ini merupakan hari berpantang bagi orang Temuan. Dipercayai seseorang akan mendapat sakit (leg) atau mati (parit dan parap) jika mereka bekerja pada hari-hari ini kerana semangat aktif pada hari-hari tersebut.
Perkembangan Semasa
Semenjak merdeka, banyak perubahan telah berlaku dalam kehidupan orang Temuan. Orang Temuan hidup menetap dan jarang sekali mereka berpindah. Pihak JHEOA telah menyediakan perumahan bagi kebanyakan keluarga. Oleh sebab hutan juga sudah berkurangan, mereka digalakkan terlibat dalam pertanian getah, dusun, kelapa sawit dan koko. Ada anak-anak muda orang Temuan yang bekerja sebagai buruh binaan, malah ramai juga yang bersekolah hingga ke peringkat pengajian tinggi.
admin: mungkinkah ini masyarakat asal yang memegang adat benar, dan dicampur dengan adat dari minang membentuk adat perpatih.. ?
No comments:
Post a Comment