Wednesday, February 10, 2010

"SERI YANG MENANTI"

"SERI YANG MENANTI"


Oleh : YM Dr. Raja Nafida binti Raja Shahminan
Pusat Kajian Alambina Melayu (KALAM) Universiti Teknologi Malaysia






PENGENALAN


Tujuan kertas kerja ini dibentangkan adalah untuk memperkenalkan ISTANA LAMA SERI MENANTI ke mata masyarakat memandangkan usia istana lama ini telah pun menjangkau seratus tahun. Keistimewaan istana ini patut diketengahkan kerana beberapa perkara iaitu :-




Istana lama ini merupakan ikon senibina Negeri Sembilan dari dahulu sehingga kini.
Istana ini tidak terikat kepada sistem Adat Perpatih walaupun hampr keseluruhan masyarakat Negeri Sembilan adalah pendukung Adat Perpatih.
Istana ini telah diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan maka keunikan senibinanya harus dipelihara dengan teliti.


ASAL USUL SERI MENANTI


Terdapat beberapa versi berbeza mengenai asal asal Seri Menanti yang telah dikumpulkan diantaranya :-




1. Seri Menanti dibuka oleh Datuk Panglima Karu yang juga dikenali sebagai Panglima Hitam dari Pagar Ruyung, Sumatera dengan dibantu oleh tiga orang pengekiutnya iaitu Jaafar Kubis serta dua orang asli yang terdiri dari Batin Menggalang dan seorang lagi yag tidak diketahui namanya. Kedatangan Datuk Panglima Karu tersebut adalah untuk mencari tempat untuk dibuat negeri yang baru. Apabila menjumpai tempat yang difikirkan sesuai, mereka mula menebang, menebas dan membersihkan kawasan sehingga menjumpai sebatang pokok Merbau. Di bawah pokok Merbau ini mereka menjumpai serumpun padi yang baru tumbuh dari jenis Serengah Kuning. Oleh kerana, pokok merbau ini besar, kerja menebang dan mengambil masa yang lama iaitu sehingga padi Serendah Kuning itu masak dan anjing yang dibawa turut beranak, enam bulan lamanya. Pokok Merbau tersebut hujungnya sampai ke Sungai Ujong manakala pangkalnya boleh diduduki oleh 32 orang. Datuk Panglima Karu kemudiannya menamakan tempat tersebut MERBAU ANJING BERANAK PADI SEDIA MENANTI. Nama tersebut kemudiannya ditukar menjadi Seri Menanti (seperti yang tercatat dalam buku perasmian Masjid Diraja Tuanku Munawir susunan Tuan Haji Mohd Zain bin Hamzah)




2. Dipercayai bahawa ramai orang-orang dari daerah Minangkabau yang menuju ke Siak menyeberang Selat Melaka ke Johor, singgah di Melaka lalu ke Naning dan Rembau dan akhirnya Seri Menanti (pada masa tersebut belum bernama).Setelah ramai yang datang, ketua dari setiap suku telah bermesyuarat untuk mencari tempat yang sesuai bagi penempatan dan bercucuk tanam. Dato' Putih yang juga seorang pawang telah menjumpai rumpun padi yang aneh lalu tempat itu dinamakan PADI MENANTI. (seperti yang tercatat dalam buku perasmian Masjid Diraja Tuanku Munawir susunan Tuan Haji Mohd Zain bin Hamzah)




3. Asal usul Seri Menanti bermula dari peristiwa seorang isteri yang bernama Seri yang menanti kepulangan suaminya. Oleh kerana terlalu lama menanti, orang-orang kampung telah menamakan tempat tersebut SERI MENANTI. (Menurut fakta menemubual bersama Norhalim bin Ibrahim, 1993)




4. Nama Seri Menanti diambil sempena nama anak sungai yang hulunya di sebuah bukit antara daerah Kuala Pilah dan Rembau dan mengalir masuk ke Sungai Muar. (Catatan R. J. Wilkinson).


Walau apapun asal nama Seri Menanti, yang pastinya sebuah istana kayu telah lama dibina dan bagi saya inilah SERI yang setia dan sedia MENANTI kita membongkar segala rahsianya.






ISTANA-ISTANA SEBELUM DAN SELEPAS ISTANA LAMA SERI MENANTI


Istana-istana ini terletk di Seri Menanti yang kemudiannya menjadi Pekan Diraja Seri Menanti. Kesemua istana sebelum terbinanya Istana Lama Seri Menanti mempunyai skil yang kecil seperti rumah-rumah biasa, Tetapi oleh kerana yang mendiaminya adalah raja yang memerintah maka rumah tersebut dipanggil istana.


1. ISTANA BARONG-BARONG
Istana ini dikenali juga sebagai Istana Empat Tiang dan terletak di Ampang Rambai. Jarak kawasan ini dengan Istana Seri Menanti sekarang adalah lebih kurang 0.75km. Perkataan Barong-Barong itu sebenarnya bermaksud pagar rumah. Ini berkemungkinan hanya istana tersebut sahaja pada ketika itu dibina disekelilingnya. (Temubual bersama Ustaz Mahmud Talib, 1993).




2. ISTANA BARUH Istana ini dibina atas titah Yamtuan Antah kerana istaa Barong-barong telah terlalu uzur. Istana ini terletak bersebelahan dengan kawasan pemakaman Diraja sekarang ini. (Temubual bersama Ustaz Mahmud Talib, 1993).




3. ISTANA PULIH
Tidak diketahui bila tarikh sebenar istana ini mula dibina tetapi ia dibina di atas tapak Pusat Kesihatan Kecil Seri Menanti sekarang ini. Ada cerita yang mengatakan bahawa nama asal istana ini diambil dari keturunan POLICE dan ada yang mengatakan ia dari perkataan PALACE. Menurut catatan sejarah istana ini telah dibakar oleh pihak British pada Disember 1875 sewaktu perang menentang pasukan Yamtuan Antah. (Temubual bersama Ustaz Mahmud Talib dan Dato' Akhir Zaman, 1993).




4. ISTANA LAMA SERI MENANTI
Istana telah diilhamkan oleh Tuanku Muhammad Shah ibni Almarhum Yamtuan Antah dan mula dibina pada 5 November 1902. Baginda bersemayam di istana ini mulai tahun 1908 sehingga tahin 1930.




5. ISTANA BESAR SERI MENANTI
Pengaruh British merubah senario senibina tradisional tanahair. British telah memperkenalkan senibina kolonial yang menjanjikan ruang-ruang yang lebih luas dan selesa ditambah dengan kemudahan-kemudahan seperti tandas yang lebih bersih membuatkan senibina yang baru diperkenalkan ini mudah diterima. Masyarakat memandang tinggi kepada kemajuan yang dibawa oleh Inggeris dan menganggap bahawa pembaharuan ini adalah satu pemodenan. Tuanku Muhammad berpindah ke istana baru ini yang terletak berhampiran dengan Istna Lama Seri Menanti pada tahun 1930 dan bersemayam di situ sehinggalah kemangkatan beliau dalam tahun 1933.


Istana ini juga telah menjadi tempat bersemayamnya Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan selepas Tuanku Muhammad sehingga kini.






KRONOLOGI PERUBAHAN FUNGSI ISTANA LAMA SERI MENANTI


Sejak ditinggalkan oleh TuankuMuhammad pada tahun 1930, istana ini pernah digunakan sebagai :-




Kediaman rasmi putera puteri baginda selama beberapa tahun lamanya.
Rumah rehat kepada tetamu rasmi seperti raja-raja, sultan-sultan serta pembesar-pembesar yang datang ke Seri Menanti.
Pada tahun 1959, istana ini telah dijadikan sebuah sekolah agama rendah dan menengah tinggi. Penubuhan dan pelaksanaanya telah dibuat atas daya inisiatif dan usaha Majlis Agama Islam Negeri Sembilan pada masa itu. ((Temubual bersama Ustaz Mahmud Talib, 1993, bekas guru besar agama rendah).
Dijadikan sebagai Muzium Diraja di bawah penjagaan Lembaga Muzium Negeri Sembilan.


Beberapa perubahan telah berlaku sejak istana ini dibina diantaranya adalah :-


i.Tangga telah ditambah


ii. Bilik air telah diperkenalkan


iii. Atap telah diganti


iv. Landskap (termasuk pagar, pokok dll) yang asyik berubah-ubah


v. Perigi telah tertimbus ?


vi. Balai telah tiada?




SENIBINA ISTANA LAMA SERI MENANTI


Disebabkan pada masa tersebut British telah bertapak dalam sistem pentadbiran kerajaan, bangunan istana yang akan dibina ini harus mempunyai set lukisan lengkap. Rekabentuk bangunan Istana Lama Seri Menanti ini telah diperhalusi dan set lukisan lengkapnya telah disediakan oleh Mr. Woodford yang merupakan Ketua Pelukis Pelan dari Jabatan Kerjaraya, Seremban. Pelan tersebut kemudiannya ditandatangani oleh Mr. Gosgrove, Jurutera Negeri dan Mr. D. H. Wise, Residen British pada masa itu pada tahun 1902. Tham Yong, seorang kontraktor telah diberi kepercayaan untuk membina istana ini. Beliau dibantu oleh tukang-tukang cina dalam melaksanakan pembinaan ini.


Istana Lama Seri Menanti merupakan istana kayu setinggi empat tingkat dan proses pembinaannya hanya menggunakan sistem tangam dan pasak yang merupakan cara pembinaaan yang diamalkan oleh masyarakat pada masa itu. Kayu yang digunakan adalah kayu Penak yang diambil dari Hutan Pergai di Jelebu.


Istana ini mempunyai empat batang tiang seri yang terletak di bahagian tengah bersaiz 340mm x 340mm (13.5 inci x 13.5 inci) setiap satu. Ketinggian tiang seri ialah 51 kaki (16.7cm) dari aras tanah. Jumlah kesemua tiang yang terdapat pada istana ini adalah sebanyak 121 batang di mana 74 batang tiang terdapat pada bangunan utama istana manakala 47 batang tiang lagi terdapat pada jambatan dan rumah dapur istana. Kesemua tiang tersebut mempunyai saiz yang sama iaitu 190mm x 190mm (7,5 inci x 7.5 inci).


Istana ini mempunyai banyak persamaan dengan rekabentuk rumah di sekitarnya. Persamaan ini nampak ketara bumbungnya. Istana ini menggabungkan pada rekabentuk bumbung panjang dan bumbung piramid. Bumbung panjang menggunakan satu perabung lurus yang merentasi dari satu sisi ke sisi rumah yang satu lagi.


Manakala bumbung piramid pula menggunakan empat perabung yang mencuram ke empat bahagian penjuru. Bumbung piramid terdapat pada hujung kiri dan kanan dan juga di anjung istana ini. Ia mempunyai kecerunan yang sesuai untuk membolehkan air hujan mengalir dengan sempurna.


Kayu berlian digunakan sebagai bahan atap. Unjuran cucur atap bertindak sebagai penangkis cahaya panas dan penghalang tempias hujan agar tingkap masih berupaya dibuka dalam keadaan hujan yang sederhana lebat. Kedua-dua hujung bumbung panjang jelas kelihatan melentik sedikit sama seperti kebanyakan rumah yang terdapat di Negeri Sembilan.




i. RUANG-RUANG DALAM ISTANA


Konsep pembahagian ruang dalaman istana ini dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu ruang persendirian atau ruang peribadi, ruang separa umum dan ruang umum. Melihat kepada pelan istana ini, ruang-ruangnya adalah lebih kepada ruang peribadi disebabkan ia adalah tempat bersemayamnya Tuanku Muhammad dan ruang-ruang ini digunakan oleh kerabat Diraja sahaja. Ruang peribadi ini terletak di tingkat satu, dua dan tiga di mana terletaknya ruang beradu dan ruang keluarga.


Ruang separa umum terdapat di istana satu digunakan oleh kerabat diraja dan orang-orang istana seperti Dato'-Dato' adat dan ruang ini adalah ruang serambi dan anjung istana. Ruang bawah istana dan ruang dapur juga merupakan ruang separa umum dan hanya orang-orang tertentu sahaja dibenarkan masuk ke ruang ini.


Ruang umum terletak di kawasan halaman istana dan ia adalah terbuka kepada masyarakat di sekeliling. Ruang ini tidak berpagar dan hanya ditandakan sempadannya oleh pokok-pokok besar sebagaimana menjadi kelaziman masyarakat dahulu.


Walau bagaimanapun, masyarakat sekeliling tidak akan masuk sewenang-wenangnya ke kawasan ini disebabkan oleh rasa hormat mereka kepada Tuanku dan kerabat baginda.




ii. HIERAKI RUANG


Dari segi susunatur ruang, adab dan tertib amalan kehidupan memerintah berstatus raja jelas terpapar dalam konsep hieraki ruang dan perletakannya. Istana ini dibina simetri dan dapat dilihat dengan jelas dari pandangan tampak hadapan dan pada lukisan pelan.


Ruang pada tingkat paling atas iaitu tingkat keempat adalah ruang penyimpanan khazanah Diraja. Ruang tingkat keitga adalah tempat bersemayam dan beristirehat Tuanku Muhammad. Tingkat kedua menempatkan ruang beradu Tuanku Muhammad, ruang keluarga dan ruang beradu Tuanku Ampuan manakala tingkat pertama adalah untuk ruang-ruang mengadap, ruang persada, ruang beradu putera dan puteri dan juga dapur. Istana ini dibina di atas tetiang yang berketinggian lebih kurang 12 kaki dari aras tanah. Ruang aras bawah hanyalah ruang kosong yang menampakkan tetiang bangunan. Peletakan ruang-ruang yang terdapat di setiap tingkat menunjukkan bahawa bilangan dan fungsi ruang semakin berkurangan di tingkat atas. Elemen privasi dalam menterjemahkan aspek pengasingan lapisan fungsi dan batasan pergerakan dimanifestasikan dengan kukuh.




iii. UKIRAN DAN ORNAMEN


Ukiran pada istana ini hanya boleh didapati pada bahagian tiang, pintu, dinding dan lambai-lambai. Corak dan motif yang terdapat pada ukiran ini kebanyakannya meruapakan corak pengukiran tempatan dan sebahagiannya dikenali sebagai Awan Berarak, Itik Pulang Petang, Ayam Berlaga, Bunga Matahari, Bunga Teratai dan sebagainya. Namun begitu, terdapat juga pengaruh Cina pada ukiran-ukiran ini dan ia dapat dilihat pada ruang pangkal serambi yang memperlihatkan ukiran berbentuk kepala singa, kaki kuda dan kuda beserta ekor yang panjang. Selain daripada itu, bentuk-bentuk abstrak dan geometri juga turut digunakan seperti potong wajik atau potong intan dan swastika. Terdapat sebanyak 48 tiang yang berukir dengan ukiran tebuk timbul pada bahagian hadapan dan sisinya. Selain pada tiang terdapat juga ukiran pada papan penutup bendul di sekeliling anjung yang sangat unik motifnya dan pada lambai-lambai di atas pintu.




KEISTIMEWAAN ISTANA LAMA SERI MENANTI


Istana ini dibina oleh tukang yang peka terhadapa keperluan fungsi istana dan istana ini dibina dengan menitikberatkan hampir setiap aspek penting seperti cuaca, fungsi ruang, adat, budaya dan kepercayaan.




Jika dilihat dari segi skala, istana ini mempunyai skala yang jauh lebih besar dari bangunan-bangunan yang dibina sebelum dan seangkatan dengannya. Diperbuat daripada kayu yang berkualiti keseluruhannya dan adalah sesuatu yang mengkagumkan apabila difikirkan ia dibina sewaktu ketiadaan pertukangan moden.
Istana ini mempunyai pelan dan tampak hadapan yang simetri manakala rumah tidak dibenarkan mempunyai pelan dan tampak hadapan yang simetri.
Ukiran pada bangunan istana ini bukannya ukiran Melayu sejati tetapi mempunyai pelbagai pengaruh luar.
Pada rumah pembesar-pembesar dan orang-orang berada pada waktu tersebut, serambi terdiri daripada serambi hujung, serambi tengah dan serambi pangkal. Serambi yang paling hampir dengan tangga dipanggil serambi pangkal manakala yang jauh dari tangga dipanggil serambi hujung. Serambi hujung ini lazimnya terletak di sebelah kanan apabila kita mengadap ke rumah tersebut. Tetapi pada Istana Lama Seri Menanti, serambi pangkal terletak di sebelah kanan apabila kita mengadap ke istana tersebut manakala serambi hujung terletak di sebelah kiri.


PERSOALAN-PERSOALAN YANG BELUM TERUNGKAI


Beberapa persoalan masih lagi belum terurai sejak kami memulakan kajian mengenai Istana Lama Seri Menanti ini pada tahun 1993. Ini adalah disebabkan oleh tiadanya dokumentasi yang boleh dirujuk dan ketiadaan orang-orang tua yang masih mengingati suasana istana ini pada waktu dahulu. Diantara persoalan tersebut adalah :-




Adakah takhta kencana Tuanku dan Raja Muda yang terletak di serambi istana (kiri dan kanan) wujud sejak dari zaman Tuanku Muhammad? Mengapakah takhta kencana Tuanku in terletak di serambi pangkal (sebelah kiri)?
Boleh dikatakan kesemua bahan rujukan mengatakan bahawa istana ini mempunyai 99 batang tiang tetapi dari kajian kami didapati jumlah kesemua tiang yang terdapat pada istana ini adalah sebanyak 121 batang di man 74 baang tiang terdapat pada bangunan utama istana manakala 47 batang tiang lagi terdapat pada jambatan dan rumah dapur istana.
Bolehkah senibina Istana Lama Seri Menanti ini dikatakan mirip senibina Minangkabau? Ini adalah disebabkan oleh senibina Minangkabau mempunyai bumbung bergonjong manakala senibina Istana Lama Seri Menanti mempunyai bumbung yang lentik.


KESIMPULAN : APAKAH 'SERI' AKAN TERUS MENANTI?


Telah sampai masanya untuk kita sama-sama memikirkan masa depan istana ini. Kemana arah tuju yang ingin kita bawa. Istana ini merupakan ikon senibina yang harus diberi perhatian sewajarnya dari kesemua pihak. Tanggungjawab harus dipikul bersama.


Keistimewaan istana ini adalah pada senibinanya. Senibina mencerminkan gaya hidup dan istana ini adalah bukti jelas dan nyata tentang kehidupan 'seorang' Raja yang memerintah. Walaupun cara hidup sentiasa berubah tetapi istana ini tidak seharusnya turut berubah. Masa harus dibekukan pada zaman pemerintahan Tuanku Muhammad. Tidak seharusnya ada sebarang penambahan yang boleh menghilangkan seri istana ini.


Kehadiran istana ini juga berkait rapat dengan persekitarannya juga harus dipelihara. Landskap termasuk pemilihan pokok, pagar, wakaf/pavillion dan bangunan-bangunan yang berhampiran adalah faktor yang boleh merosakkan seri istana ini sekiranya tiada kajian terperinci dijalankan mengenainya sebelum ia diubahsuai.


Tanggungjawab membawa istana ini ke tempoh hayat abad keduanya akan dipertanggungjawabkan ke atas pasukan pengurusan yang diharap dapat ditubuhkan. Peruntukan kewangan yang mencukupi, konsisten dan berterusan sudah pastinya akan memberikan kekuatan kepada kumpulan pengurusan ini.


Tempoh satu ratus tahun kedua bagi Istana Lama Seri Menanti tidak seharusnya dibataskan kepada kerja-kerja penjagaan dan pemeliharaan rutin. Tangungjawab sebegini tidak perlu diulang sebut kerana sudah tentulah bangunan seusia dan sepenting ini memerlukan penjagaan rutin yang cekap dan konsisten. Apa yang diharapkan dari kumpulan pengurusan berkenaan adalah meletakkan bangunan istana ini ke satu tahap luar biasa melangkaui sempadan negeri dan negara.


Kewujudan, kepentingan dan keistimewaannya perlu dicanang ke serata antero dunia sehingga warga dunia bagaikan merasa kerugian sekiranya tidak datang bertandang dan menyaksikan kehebatan senibina istana ini. Biarlah Istana Lama Seri Menanti ini terus menjadi penghubung antara generasi dan tradisi zaman silam, era sekarang dan masa depan. Sebagaimana bersungguh-sungguhnya dimahukan kemajuan dan modenisasi pada era sekarang maka begitu jugalah harapannya diletakkan di bahu setiap warga ini dalam mempertahankan dan melindungi pusaka budaya bangsa yang sudah menjadi warisan zaman berzaman.






Sekian, terima kasih.




Penghargaan ditujukan kepada




PUSAT KAJIAN ALAMBINA MELAYU, PROF MADYA TUAN SYED AHMAD ISKANDAR BIN SYED ARIFFIN dan
ENCIK IBRAHIM BIN ABDUL LATIF
yang telah bersama-sama memberi sumbangan idea dalam menghasilkan kertas kerja ini.

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...